Monday, June 23, 2008

AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN

PENULIS: DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
MUFTI KERAJAAN NEGERI PERLIS


Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan

haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau.

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang

syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang

diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi

mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang

mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana

mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk

keperluan jihad.



Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa

berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir

itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.



Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab:



Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah

memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar

engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang

daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka

memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba

lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai

baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah

lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah

dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: 'Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi,

144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).



Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak

forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan

tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas

pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh

orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.



Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita

ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin

akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya

yang menerima anugerah- bercerita kepada makcik-makcik yang kusyuk menonton tentang

azab seorang yang membazir 'nasi lemaknya'.



Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal

sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk

pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada

2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar

kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.



Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang

pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah

membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula

mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang

dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah 'ceroi' akan ditukar kepada yang

warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan

pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah

mengubah gaya hidup mereka.



Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan

yang belum 'dijakimkan', "apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum

manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?".



Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu

menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka

terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.



Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan

ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin

bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi

pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat

dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.



Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu,

dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau

membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu

adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada

Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27).



Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat

besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap

kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun,

disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun,

tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.



Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya.

Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan

rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa

wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam

banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat

itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.



Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya

terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta

supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah

daripada atas. Bukan sekadar untuk 'mengenakan si miskin yang sekian lama telah

berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya

terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang

poketnya yang sudah lelah?



Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan

harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman

rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian

untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang

dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan

rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang

dimakan oleh 'orang biasa'.



Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang

hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan

atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu

kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.



Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai,

bermain golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh

menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi

saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.



Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah

benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi

telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini.

Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.



Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar

daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan

kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan

al-An-Nahy 'an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah

para syuhada.



Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab

pada zaman Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al-Ramadah

kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah

dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara

tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.



Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi

mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin

disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari

meriwayatkan bahawa 'Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak

haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan

berkurangan di pasar.



Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga

yang agak tinggi. 'Umar enggan makan bahkan berkata:



"Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku

bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak

mengenaiku apa yang mengenai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).



Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu

dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk

dihidangkan juga buat 'Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan

hatinya. Lalu 'Umar bertanya:



"Dari mana diperolehi ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar:

"Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang

baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312,

Beirut: Dar Sadir).



Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana

menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada

peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika

rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan

membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri

jamuan negara dan negeri itu dan ini.



Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian

bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu

pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah

zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.



Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap 'berjiwa rakyat', hanya

kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak

rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu

dinamakan berjiwa rakyat?



Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang

seperti 'Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang

ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia

ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan

yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai

penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak

pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah

dan diangkat oleh Allah.



Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi

mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab

terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang

kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin

sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara

telus dan bijaksana.



Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang

menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang

menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun

sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan

bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih

dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya

tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si

miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa

amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita

berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang

berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus,

bijaksana dan bertanggungjawab.



Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang

disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati

penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang

atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup.

Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara

melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar

seseorang melupai masalah yang sebenar.


No comments:

Post a Comment

Islamic Calendar

Alhamdulillah....

Bersyukur kepada Allah S.W.T. yang memberi taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Dalam dosa dan kesalahan yang kita lakukan sehari-hari Allah tetap tidak mengazab kita yang masih hidup ini. Cuba bayangkan umat terdahulu, mereka berbuat maksiat, kejahatan dan sebagainya. Apa yang mereka dapat? Mereka diazab Allah dimuka bumi ini lagi.. Firaun, tenggelam dalam laut. Qarun, disedut kedalam bumi bersama hartanya. Semua telah di ceritakan dalam Al-Quran, untuk kita ambil ikhtibar. Sedarlah...... Allah masih memberi kita peluang, gunakanlah sebelum terlambat. Janganlah sudah di dalam kubur baru menyesal. Penyesalan itu dah tak berguna lagi...